Umrah for Dummy - Part 1

Ahlan wa sahlan buat semua pembaca blog ini. Apa khabar? Alhamdulillah pada 14 - 26 Mac 2019 saya dan isteri telah berkesempatan untuk menunaikan ibadah umrah beserta ziarah ke Madinah al-Munawarah.

Bagi saya ianya memang satu nikmat yang besar. Dapat melihat sendiri kiblat umat Islam di depan mata. Barulah nampak macam mana Kaabah yang sebenar. Selalu dapat tengok dari kaca TV sahaja.

Kisah kami pergi pun dah ajaib. Patutlah orang gelar sesiapa yang nak ke Mekah (samada untuk Umrah atau Haji) sebagai tetamu Allah. Rupanya bila tiba rezeki kita, kita akan 'dijemput' dengan cara tersendiri.

Macam kami, tiba-tiba sahaja mak saya menawarkan untuk bayarkan dahulu kos umrah ini. Memang dah lama pasang niat nak buat umrah, duit je tak pernah cukup 😂. Rupanya tahun ni doa kami untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci dimakbulkan.

Saya berhasrat untuk menulis entry ini selain daripada untuk kenangan sendiri, juga sebagai panduan supaya sedikit sebanyak boleh membantu bakal-bakal jemaah yang kali pertama (dan blur) untuk membuat persiapan.

Macam Mana Nak Tahu Kita Dah Bersedia?


Sebagai konteks entry ini, saya nak maklumkan pada pembaca dahulu yang kami buat keputusan untuk menunaikan umrah sangat last minute.

Jadi bila dah last minute tu, dah tentulah timbul perasaan 'sedia ke tak sedia ni' untuk jadi tetamu Allah. Especially kalau anda macam saya la - spesies yang tak rajin beribadat.. 😅

Nasib baik kursus umrah yang saya hadiri ni ustaz dia jenis yang sangat objektif. Dia terangkan apa yang fundamental sahaja. Dia bagitau yang ibadah umrah ni adalah ibadah fizikal, maka tak usah risau kalau tak dapat hafal doa dan sebagainya. Ibadah umrah tetap sah. Asalkan rukun dan syarat sah dipenuhi.

Maknanya siapa-siapa pun boleh menunaikan umrah, tak semestinya mereka yang tinggi ilmu agamanya sahaja.

Apa Persediaannya?

 Saya cuma akan bagitau persediaan yang penting dahulu. 

1. Vaksin 


Yang pertama adalah vaksin. Anda kena ambil vaksin terlebih dahulu, sekurang-kurangnya dua (2) minggu daripada tarikh anda berangkat ke Tanah Suci. 


Harga vaksin ikut klinik, antara RM170 - 250. Vaksin tahan 5 tahun. Buku ni kena simpan dan bagi agensi umrah anda.

2. Pasport 


- Sekurang-kurangnya kena berbaki lebih 6 bulan. Serah kepada agensi umrah untuk buat visa umrah. Masa kami nak pergi haritu, kebetulan saya dan isteri kena ke luar negara dan hanya akan balik 5 hari sebelum bertolak ke Tanah Suci. Nasib baik agensi umrah tu kata mereka hanya perlu sehari dua sahaja untuk uruskan visa. 



Visa umrah adalah visa online. Sama macam kalau kita ke Australia, contohnya. Takde tampal-tampal dalam pasport.


3. Perkakas-Perkakas 

- Ini terpulang pada masing-masing, lain orang dah tentu lain keperluan. Basically kalau lelaki kena cari:

i. Kain Ihram. Kalau nak senang bawa 3 pasang (sebab kebanyakan pakej umrah akan buat 3 kali umrah). Kalau nak basuh, dobi je di sana.

ii. Tali pinggang ihram. Beli la yang ketat sikit, cari saiz betul-betul.

- Kalau perempuan:

i. Jubah, baju, stokin secukupnya. Tak ada pakaian istimewa yang disyaratkan kepada perempuan.

ii. Wife saya beli telekung tangan.

- Dan wife saya sibuk memborong deodorant, syampu, sabun yang tak ada alcohol atau bahan-bahan lain yang mungkin tak 'bersih'. Tapi di Tanah Suci tengok diorang pakai jenama biasa juga macam Nivea dan sebagainya.


Dekat sini wife beli telekung lengan. Tapi last-last jarang pakai pun.. 😏

4. Kursus Umrah 

- Kursus umrah tak wajib pergi pun. Kalau tak pergi pun tetap boleh pergi umrah. Cuma kalau pergi lagi bagus, sebab penceramah akan terangkan hukum, rukun, syarat sah umrah beserta keadaan semasa (terkini) di Tanah Suci Mekah dan Madinah.

- Selalunya agensi umrah kita akan buat kursus umrah 2-3 minggu sebelum tarikh kita bertolak. Kursus ni selalunya percuma dan terbuka kepada sesiapa pun. Ye la, sambil menyelam minum air. Sambil menyampaikan maklumat kepada bakal jemaah umrah, masa inilah peluang agensi umrah untuk mempromosikan syarikat mereka kepada bakal-bakal pelanggan yang lain.

- Dan kalau anda tak berkesempatan nak pergi kursus umrah anjuran agensi umrah anda, sebab ada komitmen lain ke pada tarikh tu, anda sebenarnya boleh pergi mana-mana kursus umrah anjuran mana-mana pihak. Kadang-kadang Majlis Agama pun akan anjurkan kursus umrah percuma. Cuma kalau yang Majlis Agama anjurkan, selalunya akan disekalikan dengan Haji. So, jadi panjang la kursus tu. Padahal kita nak tau part umrah je. 


Ustaz ni sebenarnya Pegawai Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) Putrajaya. Tengah cuti belajar buat PHD.

5.  Gambar Visa dan Cop Sijil Nikah

- Tertinggal pulak, anda kena bagi pada agensi umrah juga 2 keping gambar background putih. Bagitau je pada kedai gambar untuk umrah. 

Lepas tu sijil nikah kena cop di mana-mana Pejabat Nikah, Rujuk, Cerai di mana-mana Pejabat Agama. Kecuali kalau wanita tu dah umur 46 tahun ke atas, tak perlu la. Sebab Arab Saudi benarkan wanita 46 tahun ke atas untuk masuk tanpa mahram.



Kami cop di sini je. Cepat. 10 minit tak sampai.


Itu je persediaannya, yang penting duit la. Ada padi semua menjadi. Dah bayar kos pakej umrah, dan dah buat persediaan di atas, Insya'allah anda dah sedia untuk berangkat ke Tanah Suci. 

Saya akan sambung lagi di Umrah for Dummy - Part 2

Mungkin entry ni akan jadi entry bersiri terpanjang. Banyak yang nak dikongsikan. 

Jemput baca nanti ye. 

Comments

Popular posts from this blog

Makan Masak Lemak di Itik Salai Masthar, Sg Merab

Umrah for Dummy - Part 4

Bawal Power Sempoi, Teras Jernang, Bangi